LOGO-LOGO

PERSATUAN

Dahulu Hingga Kini ...

LOGO ESAM 1946 – 1956

Kesemua Cawangan ESAM (Ex-Service Association of Malaya) ketika itu menggunakan Logo Persatuan berbentuk peta ‘Malaya’ yang tertulis perkataan MALAYA pada sebelah atas, manakala huruf ESAM di sebelah bawah logo. Lambang ini pada ketika itu hanya digunakan pada “Letterhead” sebagai surat rasmi Persatuan. 

LOGO ESAM 1957 – 1960

Perubahan ketara berlaku apabilalambang ESAM bertukar wajah buat pertama kali pada tahun 1957 dengan reka bentuk lebih menarik. Lambang bulat dikelilingi bunga padi dan di dalamnya terdapat perkataan Ex-Services Assocations dan lambang bintang sebelas (11 bintang yang melambangkan sebelas buat negeri di Malaya) serta lambang kecil bulan bintang (sebagai menjunjung agama islam) dan juga sepasang keris bersilang (melambangkan kepahlawanan). Manakala lukisan perisai serta perkataan ‘Of Malaya’ di bawah lambang.

LOGO ESAM 1961 – 1966

Bermula pada 1961, satu reka bentuk logo baru telah dicipta yang dianggap ringkas. Tidak seperti tahun sebelumnya, kali ini lambang bunga padi tidak lagi digunakan, bagitu juga dengan perkataan ‘Ex-Services Association’ serta lambang perisai telah ditiadakan. Logo baru ini berbentuk bulat dengan perkataan ESA MALAYA serta bintang pecah 11 serta lambang bulan bintang dan lambang sepasang keris bersilang masih dikekalkan.

LOGO PBPM 1967

Tahun ini pertama kali Persatuan menukar namanya daripada Ex-Servis Association Of Malaya (ESAM) kepada Persatuan Bekas Perajurit Malaya (PBPM). Serentak dengan itu juga lambang Persatuan ini sekali lagi mengalami pertukaran dan kali ini ia kembali ke lambang asal (1957 – 1960). Dengan lambang bunga padi serta perkataan “Persatuan Bekas Perajurit”, lambang bintang pecah sebelas dengan dikelilingi huruf PBP Malaya, bulan bintang serta lambang sepasang keris bersilang. Begitu juga terdapat lambang perisai.

LOGO PBPM 1968 – 1969

Tahun ini lambang PBPM sekali lagi mengalami perubahan ketara di mana ia kembali seperti lambang tahun 1961-1966 dengan bentuk bulat, tetapi dengan huruf PBP Malaysia.

LOGO PBPM 1969 – 1970

Lambang persatuan ini sekali lagi mengalami perubahan, sungguhpun lambangnya adalah serupa seperti tahun-tahun sebelumnya, tetapi terdapat perubahan ketara adalah pada huruf PBP Malaysia Barat pada bulatan dalam logo, manakala perkataan Sentiasa Berjuang dan Always Striving di luar bulatan logo.

LOGO PBPM 1973 – 1998

Berlainan sama sekali dari lambang sebelumnya, bermula pada 1971 PBPM menggunakan lambang bulan berwarna biru tua yang tercatat perkataan Persatuan Bekas Perajurit Malaysia, manakala di dalam bulatan berwarna merah tua terdapat sebilah keris dan parang bersilang (tidak lagi menggunakan sepasang keris bersilang seperti sebelumnya), dan di bahagian atasnya pula terdapat lambang bulan sabit dan bintang pecah empat belas. Di bawahnya pula tertulis perkataan Sentiasa Berjuang berlatar belakang warna biru tua. 

LOGO PBTM 1998 – 2013

Sesuai dengan perubahan yang dibuat di mana menukarkan nama Persatuan Bekas Perajurit Malaysia (PBPM) kepada Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) pada 28 Jul 1998. Dengan itu logo Persatuan ini juga turut ditukarkan namun hanya membabitkan perkataan “Perajurit” kepada “Tentera”manakala yang lainnya dikekalkan. 

LOGO PBTM 2014 – SEHINGGA SEKARANG

Wajah logo baharu persatuan bertukar lagi pada tahun 2014  iaitu satu bulatan warna Kuning DiRaja dengan perkataan “Persatuan Veteran ATM”  dan Angka 1922 yang menyatakan tahun ia ditubuhkan. Dalam bulatan terletak sebilah keris dan parang bersilang yang berlatar belakangkan jalur menegak berwarna biru muda disebelah kiri, warna merah di tengah dan biru tua sebelah kanan yang melambangkan ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM seperti TDM, TLDM dan TLDM. Di atas keris dan parang bersilang itu terletak bulan sabit dan bintang berwarna kuning yang mempunyai empat belas penjuru. Di sebelah bawah di antara hulu parang dan keris terletak cogan kata “SENTIASA BERJUANG”.