Darjah Setia Sentiasa Berjuang (DSSB) adalah darjah penghargaan tertinggi dalam persatuan sebagai tanda menzahirkan penghargaan dan penghormatan kepada individu yang telah berjasa dan berkhidmat secara sukarela dalam memperjuangkan kepentingan persatuan dan ahli-ahlinya selaras dengan dengan visi, misi dan objektif persatuan.

DSSB mula diperkenalkan dalam tahun 1996 dan pertama kalinya dianugerahkan kepada semua ahli Jemaah Eksekutif (Exco) dan Majlis Tertinggi persatuan pada tahun 1997. 

Di antara kriteria pertama penganugerahan DSSB ialah mereka-mereka yang terdiri daripada pemimpin negara dan negeri yang telah mempamerkan sifat keperihatinan terhadap perjuangan PVATM dan hal ehwal veteran ATM secara menyeluruh serta rela membantu persatuan dan veteran ATM dan keluarga dalam aspek kebajikan.  Penganugerahan darjah ini mestilah disokong oleh oleh Jemaah Eksekutif (Exco) dan diluluskan oleh Majlis Tertinggi secara majoriti.

Kriteria kedua penganugerahan DSSB ini ialah penerima dalam kalangan ahli-ahli persatuan yang terdiri daripada Presiden PVATM yang telah dipilih selama satu penggal atau lebih yang mempunyai sifat kepimpinan yang tinggi yang membawa perubahan yang positif  terhadap pembangunan dan kemajuan persatuan selaras dengan visi, misi dan objektif persatuan. Penerima juga telah menunjukkan komitmen dan sifat sentiasa rela berkorban tenaga dan masa dalam menerajui persatuan.  Penganugerahan darjah ini mestilah disokong oleh oleh Jemaah Eksekutif (Exco) dan diluluskan oleh Majlis Tertinggi secara majoriti.

Kriteria ketiga penganugerahan DSSB ini ialah mana-mana ahli yang telah berkhidmat sebagai Ahli Jemaah Eksekutif (Exco) selama dua penggal atau lebih. Mempunyai sifat kepimpinan dan budi pekerti yang baik dan menunjukkan komitmen dan rela berkorban tenaga dan masa untuk melakukan untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab membantu dalam pembangunan dan kemajuan selaras dengan visi, misi dan objektif persatuan. Penganugerahan darjah ini mestilah disokong oleh oleh Jemaah Eksekutif (Exco) dan diluluskan oleh Majlis Tertinggi secara majoriti.

Kriteria keempat penganugerahan DSSB ini ialah mana-mana Yang DiPertua PVATM Negeri yang telah menjadi Yang DiPertua selama dua penggal atau lebih yang telah membuktikan jasa dan bakti yang cemerlang dalam menjaga hal ehwal kebajikan veteran ATM dan keluarga dalam kawasannya.  Mempunyai budi pekerti tinggi dan bersifat tidak mementingkan peribadi sendiri  serta telah menunjukan komitmen melaksanakan tanggungjawab dengan sukarela tidak kira masa dalam membantu pembangunan dan kemajuan persatuan selaras dengan visi, misi dan objektif persatuan. Penganugerahan darjah ini mestilah disokong oleh oleh Jemaah Eksekutif (Exco) dan diluluskan oleh Majlis Tertinggi secara majoriti.

Kriteria kelima penganugerahan DSSB ini ialah mana-mana ahli yang telah menjadi ahli persatuan tidak kurang dari 10 tahun dan menjadi sekurang-kurangnya dua penggal menjadi AJK peringkat negeri atau cawangan.  Jasa dan baktinya  dalam membantu dan menyumbang terhadap pembangunan dan kemajuan persatuan telah terbukti. Mempunyai budi pekerti tinggi dan telah menunjukkan komitmen dalam membantu perjuangan persatuan serta sentiasa secara sukarela menghulur bantuan tenaga tidak kira masa. Penganugerahan darjah ini mestilah dicalonkan oleh YDP PVATM negeri dan mendapat sokongan Presiden dan Jemaah Eksekutif (Exco) dan diluluskan oleh Majlis Tertinggi persatuan secara majoriti.

Anugerah DSSB juga boleh dilaksanakan selepas kematian (posthumous).  DSSB dizahirkan dalam bentuk selepang yang mengandungi tiga jalur warna rasmi PVATM beserta dua buah lambang rasmi (insignia) PVATM yang disadur dengan emas.  Iannya hanya boleh dipakai semasa majlis-majlis tertentu  anjuran PVATM mengikut arahan yang dikeluarkan oleh Jemaah Eksekutif (Exco) atau Majlis Tertinggi dari masa ke semasa.